PANTULAN SOSIO-BUDAYA MELAYU ABAD KE-15 M DALAM MAN LA JIA GUO YI YU
Mohd Tarmizi Hasrah
mijihasrah@gmail.com
PENGENALAN
Kemunculan sesebuah daftar kata dan kamus yang di dalamnya terkandung deretan kosa kata yang disusun, sama ada mengikut urutan abjad atau, kalau tidak pun mengikut medan semantik tertentu, dapat ditafsirkan sebagai suatu peristiwa sejarah yang penting, yang sebenarnya merakam secara tersirat, dan tersurat, apa-apa yang berlaku terhadap masyarakat penutur bahasa berkenaan ketika daftar kata dan kamus itu disusun dan ditulis oleh penyusun, atau pengarangnya. Dikatakan sebagai perakam “peristiwa sejarah” kerana di dalam daftar kata dan kamus itu terdapat deretan kosa kata yang, melalui makna yang dibawanya, dapat berfungsi sebagai alat untuk memahami semula keadaan sesebuah masyarakat penuturnya. Pemahaman tentang masyarakat itu bahkan boleh meliputi tiga rangkai kata ini, ekonomi-sosial-politik (ringkasnya: ekosop), atau yang lebih dasarnya, kebudayaan, kepada masyarakat lain (atau masyarakat yang sama) yang tidak berada dalam lingkungan zaman dan geografi yang sama dengannya. Dalam hal ini, fungsi daftar kata dan kamus dalam memahami kebudayaan sesebuah masyarakat menyamai fungsi yang dimainkan oleh puing-puing reruntuhan candi-candi dan prasasti-prasasti kepada para ahli arkeologi dan sejarawan, manuskrip-manuskrip kepada para ahli filologi, para budayawan dan para penyembul etno-ilmu, umpamanya. Persamaan yang dimaksudkan dapat dikesan dari segi fungsinya sebagai alat ampuh yang merakam dan menyimpan segala khazanah kebudayaan masyarakat pemiliknya, yang hanya perlu ditafsir oleh para pengkajinya itu. Untuk memahami dengan lebih jelas lagi fungsi daftar kata dan kamus, atau contoh-contoh lain yang disenaraikan dalam perenggan di atas, dalam fungsinya sebagai alat ampuh untuk memahami kebudayaan sesebuah masyarakat, maka yang terlebih dahulu perlu dimengerti adalah fungsi bahasa kerana semuanya itu disalurkan melaluinya. Bahasa, dalam takrifannya yang longgar, adalah bunyi-bunyi yang diujarkan oleh alat ujaran, mulut. Bunyi-bunyi itu pula bukanlah sebarangan bunyi, tidak termasuk batuk dan bersin umpamanya, tetapi bunyi-bunyi yang menghasilkan makna yang dapat difahami dan menghasilkan suatu reaksi terhadapnya oleh orang lain. Dan, makna yang terkandung dalam bunyi-bunyi itu pula adalah sebuah konsepsi akali yang dijana disebabkan interaksi pengujarnya dengan realiti. Jadi, interaksi dengan realiti tersebut membentuk apa yang digelar sebagai konsepsi kebudayaan yang dizahirkan melalui bahasa yang konkrit, kosa kata. Maka itu, dalam erti yang sebeginilah sewajarnya kemunculan sesebuah daftar kata dan kamus diperhatikan. Kemunculannya bukan sekadar mengandung maklumat linguistik, misalnya maklumat kosa kata dan ejaan yang digunakan pada ketika itu, tetapi melampaui semua itu. Ia adalah perakam khazanah kebudayaan masyarakat, yang perlu ditafsir untuk memahami sifat kebudayaan masyarakat ketika itu. Jika demikianlah fungsi daftar kata dan kamus, tentu hal yang sama dapat diterokai dalam sebuah daftar kata Melaka-China, atau judul rasminya, Man La Jia Guo Yi Yu (Senarai Perkataan Negeri Melaka). Isunya, jika sesebuah daftar kata adalah perakam khazanah kebudayaan masyarakat, maka apakah yang boleh diperoleh daripada daftar kata Melaka-China itu? Dapatkah deretan kosa kata yang terkandung di dalamnya itu berupaya menjadi cermin yang akhirnya memantulkan ciri-ciri kebudayaan Melayu semasa zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka kerana daftar kata itu diandaikan ditulis pada masa itu? Lontaran persoalan-persoalan inilah yang akan cuba ditelusuri sedaya upayanya dalam makalah sederhana ini. Perlu dinyatakan terlebih dahulu bahawa daftar kata Melaka-China yang dibincangkan di sini bukanlah daftar kata yang aslinya daripada manuskrip, tetapi adalah versi transliterasi oleh E. D. Edward & C. O. Blagden (1931) dan versi transliterasi Liang Liji (1996/2009), walaupun versi Liang Liji itu juga dibuat bersandarkan kepada versi yang awal itu. Dalam kedua-dua versi tersebut, terdapat sedikit perbezaan transliterasi tetapi tidaklah sampai mengubah makna. Berkemungkinan transliterasi Liang Liji lebih disesuaikan dengan sistem ejaan bahasa Melayu pada masa kini. Pada akhir makalah ini dilampirkan versi Liang Liji tersebut.
ISU-ISU SEPUTAR MAN LA JIA GOU YI YU
Memang, daftar kata yang dibincangkan dalam makalah ini tidak lekang daripada polemik, terutamanya polemik mengenai keabsahannya; benarkah daftar kata tersebut adalah daftar kata Melaka-China? Keadaan ini sama sahaja jikalau dibandingkan dengan perbincangan mengenai manuskrip-manuskrip Melayu umpamanya, yang antara lain polemiknya terpacak pada lahan pertanyaan mengenai edisi manakah yang paling rapat dengan pengarang asalnya dll. Syahdan, dalam menilai polemik mengenai Man La Jia Guo Yi Yu, terdapat dua tanggapan yang ternyata bertentangan untuk menentukan keabsahannya. Tanggapan yang pertama memang menerima yang daftar kata itu adalah daftar kata Melaka-China, sesuai dengan terjemahan judulnya dalam bahasa Melayu, yang diandaikan ditulis antara tahun 1405 M hingga 1511 M (Edward & Blagden 1931; Liang Liji 1996/2009) oleh “…orang Tiongkok di Tiongkok” (Yang Quee Yee 1989). Tanggapan ini dipegang oleh sekelompok penyelidik yang merunuti daftar kata tersebut, antara yang terawalnya ialah E. D. Edward & C. O. Blagden (1931), Yang Quee Yee (1989) dan Liang Liji (1996/2009). Mereka berhujah, terutamanya Liang Liji (1996/2009), untuk memperkukuhkan tanggapan mereka, bahawa: (i) Daftar kata Melaka-China ditulis dalam tempoh masa itu disebabkan ketika itulah terjalinnya hubungan rasmi Dinasti Ming-Melaka. Hubungan rasmi tersebut yang dicerminkan melalui penghantaran ufti oleh Melaka dan dibalas dengan pengiktirafan China ke atasnya. Terjalinnya hubungan rasmi antara dua bangsa berlainan budaya dan bahasa justeru memerlukan penyatuan semantik melalui bahasa; (ii) Judul daftar kata itu sendiri, iaitu Man La Jia (dalam rekod-rekod lain ada yang ditulis sebagai Man La Chia), lebih tepat ditrasliterasikan dan diterjemahkan sebagai Melaka, bukan merujuk kepada kawasan-kawasan lain; (iii) Penubuhan secara rasmi jabatan bahasa Si Yi Guan pada 1405 M oleh Kaisar Cheng-tsu yang mengendalikan hal elwal bahasa-bahasa asing; dan (iv) Tidak ada satu pun kosa kata yang dipinjam daripada bahasa-bahasa Eropah yang mewajarkannya ditulis sebelum penjarahan Portugis ke atas Melaka pada 1511 M. Tanggapan yang kedua pula secara umumnya menyatakan bahawa daftar kata Melaka-China yang dikenal sejak E. D. Edward & C. O. Blagden (1931) buat pertama kali menulis mengenainya adalah yang sebenarnya bukanlah daftar kata Melaka-China, tetapi merupakan daftar kata Champa-China, Zhan Cheng Guo Yi Yu, yang telah disalahfahamkan sebagai daftar kata berkenaan (Liu Zhiqiang 2009: 4). Untuk menguatkan tanggapan beliau, Liu Zhiqiang berhujah dengan beberapa bukti, antara lainnya, ialah: (i) Walaupun dikatakan bahawa daftar kata Champa-China telah hilang, namun yang sebenarnya tidaklah begitu. Ia masih ada, cumanya disalahfahamkan sebagai daftar kata Melaka-China. Hal ini berlaku disebabkan urusan yang melibatkan Champa dan Melaka, termasuk Jawa dan Chenla terletak di bawah satu jabatan, Pejabat Hui. Keadaan ini membayangkan bahawa tentunya di pejabat tersebut telah ada satu aturan khusus yang perlu diikuti semasa menjalankan aktiviti penterjemahan bahasa negeri-negeri yang dinyatakan itu ke dalam bahasa China memandangkan kesemua bahasanya memiliki genetik yang agak rapat (walaupun pandangan ahli linguistik Austronesia tidaklah begitu mengiktiraf adanya hubungan genetik yang rapat antara bahasa Campa dengan bahasa Melayu). Persoalannya, jikalaulah demikian, tentunya setiap negeri-negeri tersebut ada daftar katanya dalam bahasa China kerana agak aneh untuk mengatakan Man La Jia Guo Yi Yu adalah Zhan Cheng Gua Yi Yu kerana jika demikian daftar kata Melaka-China pula akan hilang; (ii) Masalah tersebut membawa kepada penelusuran pensejarahan hubungan Dinasti Ming-Champa yang secara rasminya bermula pada tahun 1369 M dan tamat pada 1543 M. Oleh sebab hubungan rasmi kedua-dua negeri berlaku dalam tempoh tersebut, maka Zhan Cheng Guo Yi Yu adalah bahasa Champa abad ke-14 hingga 16 M. Jadi, dengan melihat kepada tahun permulaan hubungan rasmi Dinasti Ming-Champa yang lebih awal daripada Melaka, dan maklumat awal yang mengatakan adanya Lin Yi Guo Yu pada zaman Dinasti Song, yang memerintah sebelum Dinasti Ming, menunjukkan daftar kata Melaka-China adalah saduran daripada daftar kata Champa-China yang ditulis lebih awal. Demikianlah beberapa hujah bagi menegakkan dua tanggapan yang bertentangan. Adalah di luar keupayaan makalah ini untuk bersilat dalam gelangang yang sama disebabkan kekangan bahasa asal manuskrip daftar kata tersebut. Jikalau dirempuh sahaja kekangan tersebut pasti akan menyebabkan kedidakadilan dalam merunuti dan menilainya. Walau bagaimanapun, apa yang menarik perhatian untuk dibincangkan dengan lebih lanjut di sini adalah tanggapan Liu Zhiqiang (2009: 4) yang menyatakan Man La Jia Guo Yi Yu yang sebenarnya adalah Zhan Cheng Guo Yi Yu. Tanggapan ini, kalaulah penulis tidak salah dalam memahaminya, bererti tidak ada Man La Jia Guo Yi Yu yang sebenar-benarnya melainkan judulnya sahaja, sedangkan kandungannya tetaplah Zhan Cheng Guo Yi Yu. Justeru, untuk memperkukuhkan tanggapan beliau, Liu Zhiqiang memaparkan 32 kosa kata yang sama dan hampir sama daripada 11 bahagian dalam daftar kata Champa-China dan Melaka-China. Namun, ada pertanyaan lain muncul. Pertama, E. D. Edward & C. O. Blagden (1931 & 1939) telah menerbitkan kedua-dua daftar kata Champa-China dan Melaka-China. Penulis berkesempatan membandingkan kedua-duanya, dan menemui tiga perbezaan yang paling menonjol, iaitu transkripsi entri, jenis entri dan jumlah entri; transkripsi entri, misalnya untuk kata ‘langit’, Champa-China ‘la i’, Melaka-China ‘an la’; jenis entri, Champa-China mengandungi 30 jenis frasa mudah, Melaka-China tidak mengandungi frasa; dan, jumlah entri, Champa-China 601 entri, Melaka-China 482 entri. Kepada Liu Zhiqiang (2009: 5) perbezaan yang muncul adalah disebabkan kedua-dua daftar kata tersebut telah beberapa kali diedit dan diterjemah oleh pengedit dan penterjemah yang berbeza. Contohnya berlaku terhadap daftar kata Champa-China sendiri, iaitu edisi Mao Bofu ada 475 entri, sedangkan edisi Morrison ada 601 entri, pertambahan sebanyak 126 entri. Kedua, Liu Zhiqiang (2009: 6-8) juga ada membuat perbandingan antara Zhan Cheng Guo Yi Yu dengan Man La Jia Guo Yi Yu, dan beliau menemui 32 kosa kata yang sama dan hampir sama seperti yang telah disebut di atas. Pada pengertian penulis, disebabkan persamaan tersebutlah antara lain menjadi bukti bahawa daftar kata Melaka-China adalah saduran daripada daftar kata Champa-China. Tetapi, pertanyaannya adalah apakah wajar persamaan 32 kosa kata daripada 475 dan 482 entri sebagai buktinya? Memang telah menjadi ijmak para ahli bahasa bahawa persamaan kosa kata antara dua bahasa harus juga dilihat dari sudut yang lain. Salah satunya peminjaman. Memang hakikat sejarah bahawa Alam Melayu menerima pengaruh Hindu-Buddha dalam jangka masa yang lama, justeru menyebabkan mengalir dengan derasnya aliran peminjaman daripada bahasa Sanskrit. Selain itu, boleh jadi juga kedua-dua bahasa diturunkan daripada induk yang sama, bahasa Melayu purba. Dengan faktor peminjaman daripada bahasa yang sama dan induk bahasa yang sama, maka persamaan dalam dua bahasa bukanlah suatu kepelikan. Soalnya ialah bagaimana untuk membuktikan 32 kosa kata tersebut memang asli bahasa Champa yang dipinjam oleh bahasa Melayu di Melaka sebagai bukti sokongan untuk mengesahkan yang memang daftar kata Melaka-China adalah daftar kata Champa-Melaka. Walau bagaimanapun, terdapat satu fakta yang agak relevan untuk dilontarkan di sini, iaitu jikalau mengikut laporan Liang Liji (1996/2009: 63), bahawa kaisar Cheng-tsu sebenarnya telah menghantar utusan ke Melaka pada tahun 1403 M sebelum utusan Melaka di hantar ke China. Fakta ini secara tidak langsung memberikan maklumat tersirat bahawa utusan Dinasti Ming tersebut telah mengetahui bahasa Melayu, kerana sudah tentu sukar untuk menjalankan urusan tanpa kefahaman bahasa. Begitu juga dengan hubungan China dengan kerajaan-kerajaan lain dari Alam Melayu sebelum 1400 M itu, juga memerlukan kefahaman bahasa Melayu, atau kedua-dua bahasa sekaligus. Jadi, dengan fakta-fakta begini, mungkin telah ada daftar kata bahasa Melayu-China sebelum Man La Jia Guo Yi Yu. Namun, tidak pula diketahui sama ada ianya adalah Zhen Cheng Guo Yi Yu. Hakikatnya, perbezaan tanggapan tersebut tidak akan terselesai selagai semua edisi manuskrip daftar kata bahasa negeri-negeri asing yang dihasilkan oleh Si Yi Guan tidak ditransliterasi dan dibanding antara satu sama lain. Dengan mengambil kes Man La Jia Guo Yi Yu misalnya, yang edisi yang dikaji selama ini adalah edisi yang diedit oleh seorang Tong Shi bernama Yan Ling pada 1550 M, selagi edisi awalnya belum dibongkar, maka agak sukar membuat sebarang pertimbangan kukuh, sama benarkah ianya daftar kata Melaka-China, atau bukan.
STRUKTUR MAN LA JIA GUO YI YU
Sebenarnya, daftar kata ini ditulis mengikut aturan yang ditetapkan oleh jabatan bahasa, Si Yi Guan, yang mencontohi daftar kata China-Monggol sebelumnya, seperti yang dilaporkan oleh Liang Liji (1996/2009: 94). Aturannya begini, mula-mula dipilih dahulu kosa kata dalam bahasa China yang diperlukan sebagai entri sebelum dikelaskan ke dalam 17 kategori mengikut medan semantik, antara lainnya seperti anggota tubuh badan, warna, nombor, tumbuh-tumbuhan dll. Kemudian kosa kata China tersebut diberi kata dalam bahasa Melayunya yang dieja dan ditulis dengan menggunakan huruf China. Disebabkan kesemua kosa kata bahasa Melayu dieja dalam huruf China, maka daftar kata ini tidaklah dapat memberi maklumat linguistik yang mencukupi, terutamanya dari segi tatabunyi, pembentukan kosa kata dan ayat (barangkali disebabkan hal-hal beginilah Russell Jones memandang sepi daftar kata sebagai sumber penting historiografi bahasa Melayu). Tetapi, ia tetap penting jikalau ditilik dari sudut etimologi. Memang, seperti yang juga dilaporkan oleh E. D. Edward & C. O. Blagden (1931) dan Liang Liji (1996/2009) bahawa Man La Jia Guo Yi Yu, tidak lari daripada masalah pembacaan ekoran banyaknya kesilapan yang muncul. Hal ini disebabkan ianya telah beberapa kali diedit dan diterjemah oleh pengedit dan penterjemah yang berbeza, dan dalam zaman yang berbeza pula. Setiap pengedit dan penterjemah pasti menokok tambah apa yang telah sedia ada. Contoh yang agak melucukan adalah untuk kata ‘langit’ yang ditulis sebagai ‘an la’, iaitu ‘Allah’. Ini terang-terang memang satu kesilapan. Kepada Liang Liji (1996/2009: 112), kesilapan tersebut adalah disebabkan pengumpul kosa kata dan pemaklumnya saling tidak memahami antara satu sama lain. Jadi, apabila pengumpul bertanya tentang langit, dia menunjuk ke atas. Ini, barangkali, difahami oleh pemaklum sebagai Kuasa Tertinggi, lalu dikatakan sebagai ‘Allah’. Nampak hujah ini seakan melucukan, tetapi ada logiknya. Penulis boleh mengambil contoh penyelidikan dialektologi dan linguistik sejarawi yang pernah penulis jalankan. Memang berlaku perkara yang sama, iaitu kesilapan pemaklum dalam memahami kehendak sebenar penulis, walaupun penulis bertutur dalam dialek yang sama. Inikan pula dua buah bahasa yang berlainan sama sekali, tentu kesilapan begitu lebih mudah terjadi.
ADA APA DENGAN MAN LA JIA GUO YI YU
Pada awal makalah ini, penulis ada menyatakan bahawa daftar kata dan kamus, tidak hanya memaparkan maklumat mengenai kosa kata, tetapi yang lebih pentingnya, maklumat kebudayaan masyarakat penuturnya. Justeru itu, dalam konteks tersebutlah penulis merunut daftar kata Melaka-China. Pada hemat penulis, sekurang-kurangnya, ada tiga perkara yang paling menonjol dalam daftar kata tersebut. Dengan frasa “paling menonjol” penulis maksudkan adalah jumlah kosa katanya yang banyak hingga dapat memberikan gambaran yang agak jelas mengenai ketiga-tiganya. Pantulan Hubungan Dua Hala Dinasti Ming-Melaka Adalah menjadi suatu hakikat sejarah bahawa hubungan China dengan Alam Melayu bukanlah suatu hubungan yang baru terbina akhir abad yang lalu sahaja, misalnya apabila Perdana Menteri ke-2 Malaysia mengadakan lawatan rasmi ke China pada 1970-an, tetapi hubungan itu dapat ditelusuri lebih jauh hingga awal abad masihi lagi. Memang, telah diberitakan mengenai peranan Sriwijaya sebagai pusat Buddhisme yang penting di rantau ini. Sebab itu, I-tsing sanggup singgah di situ untuk mendalami agama tersebut (termasuk menterjemah karya-karya keilmuwan yang ada ketika itu–satu makalah yang menarik yang menceritakan mengenai perkara ini pernah ditulis oleh Dr. Alinor) sebelum melanjutkan pengajiannya ke India. Malah, telah juga diberitakan bahawa beliau juga berkali-kali menyarankan kepada bakal-bakal bikhu/biksu Buddha supaya singgah terlebih dahulu di Sriwijaya untuk menebalkan diri dengan ilmu ke-Buddha-an sebelum ke India. Hubungan tersebut tidak berhenti setakat itu, tetapi tetap terus-terusan berlangsung. Buktinya, antara lain, terdapat dalam catatan Chua Ju- Kua yang bertarikh 1178 M yang mencatat mengenai P’eng-Feng (transliterasi Rumi yang merujuk kepada Pahang). Malahan, seorang pemerintah Pahang dikhabarkan telah menghantar upeti ke China pada tahun 1378 M untuk memohon perlindungan. Bukti-bukti sebegini, dan banyak lagi yang lainnya, membayangkan adanya penerusan hubungan China dengan Alam Melayu. Namun, seperti yang disimpulkan oleh Liang Liji (1996/2009), tidak ditemui sebarang catatan mengenai Melaka dalam sumber-sumber China sebelum tahun 1400 M. Alasannya agak jelas kerana masih belum terjalin hubungan rasmi antara China dengan Melaka, yang pada awal-awal tahun 1400 M itulah baru sahaja mula menampakkan sinarnya (walaupun ada usaha-usaha terbaru kalangan sejarawan yang menganggap pembentukan Melaka lebih awal daripada 1400 itu). Jikalau diperhatikan senarai kosa kata yang ada dalam daftar kata Melaka-China yang dilampirkan bersama makalah ini terutamanya dalam kategori kesembilan yang diberi judul dalam bahasa Melayu-nya sebagai Kategori Peri Perlakuan, ternyata memperlihatkan suatu urutan tatacara untuk masuk mengadap maharaja yang perlu dilaksanakan oleh seseorang yang ingin berbuat demikian. Kosa kata mengenai perkara tersebut agak lengkap juga, yakni meliputi tatacara daripada mula-mula masuk ke dalam istana, mengadap raja, mempersembahkan anugerah, dan seterusnya keluar dari istana. Memang, jika dilihat satu persatu kosa kata tersebut, dari segi ertinya tidak tertonjol perbezaan dengan tatacara yang sering dipaparkan dalam media-media semasa hari pertabalan Yang Di-Pertuan Agong atau hari keputeraan sultan-sultan misalnya, malah senarainya pun sangat tidaklah begitu asing kepada penutur bahasa Melayu pada masa kini – transliterasi aksara China ke aksara Rumi masa kini berpengaruh dalam kes ini. Hal ini disebabkan kosa kata mengenainya dipaparkan sahaja tanpa penerangan tambahan, misalnya yin ba ‘nyembah’, hanya dinamakan sahaja tanpa ditunjukkan cara ‘nyembah’ yang bagaimana. Dengan adanya bantuan penerangan tambahan tersebut akan membantu merungkai satu persoalan lain, iaitu apakah kosa kata dalam kategori ini dibuat dengan tujuan untuk memudahkan pemerintah negeri-negeri luar untuk masuk mengadap maharaja China, atau kosa kata tersebut bersifat umum, boleh diamalkan dalam mana-mana istana, sama ada istana maharaja China dan istana pemerintah negeri-negeri luar. Adakah kemungkinan yang Cheng Ho juga turut memasukkan daftar kata ini ke dalam tasnya sebelum belayar ke Melaka? Kemungkinan ini tetap ada kerana jikalau bersandarkan kepada huraian Liang Liji (1996/2009: 63) seperti yang dipaparkan sebelum bahawa yang terlebih dahulu menghantar utusan diplomatik adalah Kaisar Cheng-tsu, iaitu pada tahun 1403 M, sebelum Parameswara mengutus utusan balas beliau ke China pada tahun 1405 M mengikuti utusan Kaisar tersebut untuk pulang. Jadi, telahan boleh dibuat bahawa utusan Kaisar Cheng-tsu tentu telah dibekali dengan ilmu bahasa Melayu, yang mungkin sumbernya adalah Man La Jia Guo Yi Yu. Telahan ini seakan berseberangan dengan E. D. Edward & C. O. Blagden yang mengandaikan daftar kata tersebut disusun dan ditulis antara 1405 M hingga 1511 M. Pantulan Kegiatan Perdagangan di Melaka Melaka terbangun dengan pesat disebabkan keupayaannya menjadi pelabuhan entrepot, tempat menjual, mengumpul dan menyimpan barang-barang dari dalam dan luar negeri. Kedatangan Portugis dan Belanda yang menjarah Melaka juga disebabkan alasan mahu menguasai perdagangan di rantau ini. Sarjana seperti Anthony Reid dan Nordin Hussin misalnya, juga pernah cuba membangunkan sebuah teori mengenai peradaban Alam Melayu, Melaka juga tidak terkecuali, yang dikaitkan dengan aktiviti perdagangan, yang terinspirasi dengan teori Mediterranean sarjana sejarah dari Belgium, Fernand Braudel. Ini, kepada mereka, memang fakta sejarah. Tom Pires dalam Suma Oriental dan Godinho de Eredia dalam Malaca L’inde Meridionale umpamanya, ada mencatat aspek perdagangan dan ekonomi Melaka, tetapi kedua-dua mereka menulis mengenai Melaka selepas kota itu ditakluk oleh Portugis. Dan, jikalau dilihat senarai kosa kata dalam daftar kata Melaka-China, secara tidak langsungnya, akan dirasai jerit pekik para pedagang yang ke sana sini menjual dan memunggah barang-barang di pasar dan dari kapal-kapal mereka. Ini jelas dapat dikesan dalam Kategori Tumbuh-tumbuhan, Kategori Unggas dan Haiwan, serta Kategori Makanan dan Minuman. Berdasarkan deretan kosa kata tersebut dapat dibuat andaian bahawa kebanyakannya adalah barang-barang yang didagangkan di pelabuhan Melaka. Dalam menilai andaian tersebut, rekod-rekod sejarah yang lain perlu diterokai. Barangkali, catatan Ma Huan, salah seorang yang bersama-sama Cheng Ho membelah lautan luas menyebarkan keagungan Diniasti Ming ke persada antarabangsa, dalam Ying-Yai Sheng-Lan, atau The Overall Survey of the Ocean’s Shores (mengikut terjemahan J. V. G. Mills 1970), iaitu Pemandangan Indah di Tepi Laut Seberang (mengikut terjemahan Liang Liji 1996/2009), pada tahun 1416 M memadai di sini memandangkan ianya dicatat ketika zaman kegemilangan Melaka. Memang, dalam catatannya, Ma Huan, selain memerikan aspek sosio-budaya orang Melayu di Melaka, juga secara tidak langsungnya turut memaparkan maklumat perihal aktiviti perdagangan di Melaka. Dalam catatan beliau itu, ada disebut mengenai beberapa tumbuhan dagangan yang penting di Melaka, iaitu ta ma erh ‘damar’, sha ku ‘sagu’, sun tu lu ssu ‘sindarus’ dan chiao chang ‘kajang’. Mengenai ta ma erh, yang diceritakan dengan panjang lebar, menurut Ma Huan (1970 :111), dikutip oleh ramai orang di Melaka untuk tujuan dagangan, selain berguna sebagai bahan bakar untuk alat yang peranannya sebagai rumah api pada masa kini. Menariknya, dalam Man La Jia Guo Yi Yu juga tercatat entri da ma er yang sama ertinya dengan ta ma erh dalam catatan Ma Huan itu. Namun, tidak ditemui pula kata-kata lain yang dicatat Ma Huan dalam catatannya dalam daftar kata tersebut. Walau bagaimanapun, jikalau diperhatikan senarai kosa kata Kategori Tumbuh-tumbuhan terdapat 51 entri yang mengertikan jenis tumbuh-tumbuhan (termasuk juga buah-buahan) berbeza yang sangat diperlukan dalam perdagangan ketika itu, misalnya ke luo ma ‘kurma’, ba wang bu di ‘bawang putih’, ke shen ma ‘kesemak’, zheng dan ‘jintan’, jia bu er ‘kapur barus’, jia lu ding jia lan ‘gaharu tengkaras’ dll. Selain dari itu, deretan kosa kata mengenai tumbuh-tumbuhan tersebut juga boleh menjadi bukti sokongan akan kosmopolitannya Melaka ketika itu. Hal ini dapat dikesan melalui asal usul jenis-jenis tumbuhan yang disenaraikan, misalnya, dengan mengambil penjelasan etimologi oleh E. D. Edward & C. O. Blagden (1931) dan Liang Liji (1996/2009), jia you bu e, yan sad an li ya ‘asam’, su ji, bu di, shi (bu?) wa ge a si ‘buah keras’, geng di lu gan. Pantulan Keupayaan Ilmu Pelayaran Menarik untuk dibincangkan serba sedikit dalam makalah mengenai ilmu pelayaran orang Melayu ketika itu yang sememangnya telah diketahui umum akan keupayaan dan kepentingannya. Berhubung dengan perkara ini, Man La Jia Guo Yi Yu ada mencatat beberapa entri yang berkait dengan hal-hal pelayaran dan kelautan terutamanya yang tercatat dalam Kategori Astronomi dan Kategori Geografi. Dalam kedua-dua kategori itu, terdapat kosa kata yang memerikan keadaan angin dengan agak lengkap, yakni bermula dengan an yin du fan ‘angin taufan’ hingga kepada an yin la buh ‘angin berhenti.’ Memanglah suatu kewajipan kepada para pelayar untuk mengetahui keadaan angin semasa belayar di lautan kerana kapal-kapal ketika itu memang digerakkan dengan bantuan angin. Tanpa pengetahuan mengenainya, pasti akan menghalangi kejayaan sesebuah pelayaran. Begitu juga pengetahui mengenai kejadian-kejadian alam lain yang penting kepada para pelayar seperti kedudukan bing yin dang ‘bintang’, keadaan ya wan ‘awan’, keadaan bu lan ‘bulan’, keadaan an la ‘Allah atau langit’ dll. Kesemua kejadian alam ini ada tercatat dalam Man La Jia Guo Yi Yu walaupun tidak secara menyeluruh, namun bermanfaat untuk mendapat gambaran umum mengenainya.
KESIMPULAN
Sebagai dokumen sejarah, Man La Jia Guo Yi Yu dapat dinilai sebagai permata yang sangat berharga. Hal ini demikian kerana kandungannya dapat ditelaah dari dua segi, sejarah Melaka dan historiografi bahasa Melayu. Seperti yang telah dibincangkan, deretan kosa katanya memang mengungkapkan keadaan sosio-budaya masyarakat di Melaka ketika itu. Dan, daftar kata tersebut adalah usaha pertama untuk menggandingkan bahasa Melayu dengan bahasa asing yang juga merupakan penanda bermulanya sejarah leksikografi bahasa Melayu. Justeru itu, hadirnya Man La Jia Guo Yi Yu tidaklah boleh dipandang sepi sahaja kerana persoalan-persoalan yang timbul darinya darihal dua segi di atas itu masih menuntut jawapan yang tuntas daripada kalangan penyelidik.
RUJUKAN
Edwards, E. D. dan Blagden, C. O. 1932. A Chinese vocabulary of Malacca Malay words and phares collected between 1403 and 1511 (?). Bulletin of the School of Oriental and African Studies, bil. 6 (3): 715-749.
Edwards, E. D. dan Blagden, C. O. 1939. A Chinese vocabulary of Cham words and phrases. Bulletin of the School of Oriental and African Studies, bil. 10 (1): 53-92.
Liang Liji. 2009. Lembaran sejarah gemilang: Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming abad ke-15. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Liu Zhiqiang. 2009. Historical relations between Champa and the Malay World in several Chinese records. Makalah yang dibentangkan dalam International Seminar on Historical Relations between Indochina and the Malay World pada 20-21 Oktober 2009 di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Ma Huan. 1970.
Yang-yai Sheng-lan. Terjemahan oleh J. V. G. Mills sebagai The overall survey of the ocean’s shores’. Cambridge: Cambridge University Press.
Yang Quee Yee. 1989. Leksikografi Melayu dalam masyarakat Tionghoa. Papan Luncur. (Makalah ini dibentangkan dalam Seminar Aspek-Aspek Keilmuwan Etnomatematik dalam Tamadun Melaka, anjuran Institur Penyelidikan Matematik (INSPEM) dan ASASI di INSPEM, UPM, pada 14 Januari 2012)
« Seminar Aspek-aspek Keilmuan Etnomatematik Tamadun Melaka 2 | KETERLESTARIAN ILMU PENGETAHUAN »
Tiada komen
Nota: Kami ucapkan terima kasih atas semua komen yang diberikan. Dipohon gunakan ejaan yang betul. Elakkan memberi komen yang menyentuh sensitiviti, mengelirukan, atau yang tidak jelas maksudnya.